KISAH SI JUTAWAN PAIP
Inilah kisah tentang kejayaan yang menginspirasi dari Itali dengan tajuk The Parable of the Pipeline atau diterjemahkan sebagai Perumpaan Sebatang Paip
Kisah ini bermula mengenai dua sahabat, Pablo dan Bruno, yang mempunyai impian untuk kehidupan bertambah baik daripada sebelumnya.
Suatu hari, mereka ditugaskan oleh ketua kampung untuk mengangkut air dari sungai ke kampung mereka. Mereka mengambil peluang itu untuk menambah pendapatan dan diberi upah mengikut jumlah baldi air yang mereka angkut setiap hari. Mereka berusaha keras dan selepas beberapa bulan, hasil kerja keras mereka mulai memberi manfaat. Kedua-dua sahabat ini mampu membeli rumah dan binatang ternakan sendiri.
Bruno menganggap pekerjaan sebagai pengangkut air merupakan peluang terbaik untuk mencapai matlamat kehidupan yang lebih selesa tetapi tidak bagi Pablo. Pablo ingin mencari jalan yang lebih pantas dan mencadangkan idea membina paip air dari sungai ke kampung halaman mereka. Namun Bruno menolak mentah-mentah kerana menganggap melecehkan dan lambat untuk mencapai matlamatnya. Walaupun begitu, Pablo tidak berputus asa. Dia meneruskan idea tersebut tanpa bantuan Bruno, walau usaha membina paip memakan masa panjang dan memerlukan pengorbanan. Pablo terpakasa melakukan kerja lebih masa dan mengorbankan masa malam dan hujung minggu untuk membina paip tersebut.
Sementara itu, Bruno terus mengangkut air dan mendapat upah yang setimpal. Dia boleh berehat dan bercuti pada hujung minggu dan upah yang diperolehi dapat digunakan untuk bergembira.
Seiring berlalunya waktu, Bruno semakin kaya tetapi kudratnya kian kurang, sementara Pablo masih dengan usahanya kerana dia mempunyai matlamat yang jelas bahawa dia tidak mahu selama-lamanya mengangkut air.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun, akhirnya paip yang dibina oleh Pablo berjaya disiapkan. Paip tersebut dapat dimanfaatkan oleh orang kampung. Mereka gembira dan membayar upah kepada Pablo. Pablo hanya perlu menyelenggarakan paipnya sedangkan Bruno yang menua kian uzur masih perlu bertungkus-lumus mengankut air.
Tamat kisah dua sahabat, Pablo dan Bruno.