KISAH JUTAWAN FELDA

 



Pernahkah anda mendengar kisah Jutawan Felda- Felda Lyndon B. Johnson (LBJ) dan Jutawan Felda Sendayan?

Kisah Jutawan Felda LBJ berlaku sekitar tahun 1996 manakala kisah Jutawan Felda Sendayan pula sepuluh tahun selepas itu. Kebetulan pula, kedua-duanya berlaku di Negeri Sembilan.

   Pada tahun 1996, kira-kira 500 orang peneroka Tanah Rancangan Felda LBJ menerima durian runtuh sekitar RM1.3 Juta ke RM2.2 Juta setiap orang sekali gus menjadikan mereka 'jutawan segera'. Perkara sama turut berlaku pada peneroka Felda  Sendayan, cuma jumlahnya kecil sedikit.

   Wang jutaan ringgit itu diperoleh mereka apabila kerajaan Negeri Sembilan mengambil alih tanah-tanah rancangan mereka untuk pembangunan Koridor Teknologi Negeri Sembilan yang juga dikenali sebagai ENSTEK.

   Kawasan itu menjadi pilihan kerajaan negeri kerana ia adalah kawasan kejiranan berdekatan dengan beberapa pembangunan yang sedang membangun ketika itu, Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA.

   Berbalik kepada kisah Jutawan Felda LBJ, kehidupan mereka berubah 180 darjah selepas peristiwa tersebut.

   Dari asalnya kehidupan peneroka ladang sawit yang kehidupan mereka bergantung pada hasil jualan sawit, tiba-tiba menjadi jutawan dengan sekelip mata.

  Sebaik sahaja proses pemberian pampasan itu berjalan dan diumumkan, berbondong-bondong orang luar datang ke Felda berkenaan. Majoriti datang untuk mengambil kesempatan terhadap perkembangan tersebut. Ada yang datang untuk membuka pameran kereta mewah. Ada yang membuka pameran perabot. Ada juga kontraktor perumahan. Ada yang membuka ejen-ejen insurans dan skim pelaburan.

   Kehidupan mereka berubah sekelip mata. Dari rumah papan menjadi rumah banglo. Kereta-kereta mewah sudah tidak lagi asing di kawasan Felda berkenaan yang dipakir di celah-celah pokok sawit.

   Sebuah rumah kadang-kadang mempunyai sehingga hampir sepuluh buah kereta dan motosikal mewah yang dimiliki oleh setiap seorang ahli keluarga daripada ayah, emak hingga ke anak-anak.

   Sebut sahaja model kereta mewah yang wujud di zaman itu, semua ada disana. Namun pemandangan itu tidak lama. Tidak sampai 5 tahun.

   Jika hari ini anda datang ke sana, apa yang anda jumpa ialah bekas-bekas jutawan. Apa yang berlaku selepas itu adalah kehidupan mereka kembali seperti sedia kala malah ada yang bertambah teruk. 

   Kereta-kereta mewah tadi ada  yang sudah dijual atau ditarik oleh bank kerana pemiliknya gagal membayar hutang.

   Wang-wang dalam akaun simpanan sudah kering. Ada yang sudah diisytiharkan muflis dan hampir muflis. Paling menyedihkan, hampir separuh daripada peneroka tadi terlibat dengan skim cepat kaya.

  Dalam tempoh 5 tahun itu selepas mereka menjadi jutawan segera, ada yang membeli kereta mewah dan membina rumah banglo. Pendek kata majoriti berjoli sakan dengan duit yang diterima. Natijahnya, ada yang sehingga meretakkan hubungan suami isteri dan keluarga termasukberlaku kes saman-menyaman akibat daripada ketidakpuasan hati. Seorang peguam turut berkongsi pengalaman menguruskan kes-kes berkenaan Felda. Menurutnya, anak-anak generasi kedua sudah membesar dan diantara ibu ayah mereka yang menjadi generasi pertama Felda yang menjadi jutawan tadi sudah meninggal dunia dan apa yang berlaku kini ialah perebutan harta pusaka yang berupa rumah banglo tinggalan ibu ayah mereka. Ada juga kes anak menyaman ayah untuk menuntut harta sepencarian bagi pihak emak yang meninggal dunia.

   Konklusinya, minda orang yang memiliki wang dengan cara yang mudah berbeza dengan minda orang yang memiliki wang dengan hasil penat lelah sendiri.

   Inilah beza antara "minda kaya" dan "minda miskin". "Minda kaya" tidak semestinya dimiliki orang kaya dan "minda miskin" tidak semestinya dimiliki oleh orang miskin.

   Ada orang yang banyak duit tetapi masih memiliki minda miskin. Dalam masa yang sama ada orang yang hidup serba kekurangan yang memiliki minda kaya. 

   

Catatan popular daripada blog ini

Kenaikan Harga Minyak Mentah Dunia dan Kesannya Terhadap Ekonomi Malaysia 2023/24