KISAH JUTAWAN MUSLIM TERKAYA DI MALAYSIA [Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary]
Saya berpendapat tidak keterlaluan untuk menyatakan hampir semua orang kenal nama Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary. Saban tahun beliau dinobatkan sebagai satu-satunya bilionaire Melayu Muslim dalam kalangan 10 terkaya di Malaysia oleh Forbes.
Pada 2023, kekayaan beliau dianggarkan sekitar RM7.04 bilion. Namun, kita hanya berpuas hati menerima hakikat bahawa itu sahaja maksimum wakil tunggal daripada kalangan Melayu Muslim yang kita boleh banggakan. Dalam senarai Top 10, malah Top 20 orang yang paling kaya di Malaysia pun sukar untuk mencari wakil beragama Islam dalam senarai tersebut.
Adakah kita seronok melihat situasi tersebut?
Bagus atau tidak sekiranya ada lebih ramai individu seperti Tan Sri Mokhtar Al Bukhary?
Mana lebih baik antara 2 situasi berikut: lebih ramai orang miskin atau lebih ramai orang kaya?
Adakah negara akan lebih baik jika lebih ramai orang kaya atau lebih ramai orang miskin?
Jawapan kepada semua persoalan di atas adalah hujah penutup untuk menjawab persoalan "Perlukah menjadi kaya?".
Tidak dinafikan, ada segelintir di antara kita yang agak taboo dengan kekayaan, duit, harta, jutawan dan seumpamanya.
Cukuplah saya mencuit sedikit kesedaran dengan jawapan kepada persoalan-persoalan di atas.
Alangkah bagus sekiranya lebih ramai individu seperti Tan Sri Syed Mohktar Al Bukhary. Tentulah lebih baik sekiranya orang kaya lebih ramai berbanding orang miskin. Tentu juga negara akan lebih baik sekiranya mempunyai rakyat yang kaya raya lebih ramai daripada yang miskin.
Ayuh kita menelusuri kisah multi jutawan Syed Mokhtar Al Bukhary ini.
Beliau bukan individu yang lahir daripada golongan kaya mahupun bangsawan. Masa kecilnya dihabiskan dengan membantu keluarganya mencari pendapatan untuk menampung perbelanjaan harian mereka. Beliau sentiasa membantu ibunya bercucuk tanam dan menjual sayur-sayuran di pasar dan selepas sekolah, beliau turut membantu bapanya utuk menternak lembu dan kerbau. Berkat usaha yang gigih, segala penorbanan beliau akhirnya membuahkan hasil sehingga ke hari ini.
Memulakan kerjaya sebagai seorang pedagang kecil-kecilan sebelum terlibat dalam perniagaan yang lebih besar seperti perniagaan import dan eksport sehingga mampu membangunkan syarikat yang terlibat dalam pelbagai sektor utama termasuk logistik, minyak dan gas, pembinaan dan hartanah.
Antara kejayaan-kejayaan besar beliau apabila berjaya menempa nama dengan membangunkan Pelabuhan Tanjung Pelepas sehingga berjaya meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa dari Denmark dan Taiwan supaya berpindah ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Beberapa tahun selepas itu, beliau bersama beberapa rakan industri berjaya mendapatkan pegangan saham DRB-Hicom walaupun mendapat tentangan yang cukup sengit daripada pesaing lain.
Sebagai orang bisnes, beliau juga mengalami masalah turun naik bisnes seperti orang lain. Tiada keajaiban. Sebagai contoh sewaktu krisis ekonomi tahun 1997 nilai aset yang beliau miliki turut berkurang dengan cukup mendadak daripada RM 3Bilion kepada RM 600Juta. Waktu itu ramai yang menjangkakan beliau akan mengalah dan berundur. Pun begitu, berbekalkan semangat juangan dan rasa tanggungjawab terhadap aset strategik bumiputera dan memikirkan staf-staf yang bekerja dengannya, beliau berusaha dan berjaya kebali ke puncak.
Menyelami kehidupan peribadi beliau, beliau cukup suka untuk mengekalkan gaya hidup yang sederhana. Contohnya, tidak mengembara dalam kelas pertama dan memandu kereta biasa sahaja. Bahkan anaknya juga memandu kereta Proton Saga sahaja.
Satu perkara yang membuatkan beliau cukup terkenal di kalangan masyarakat ialah Yayasan Al Bukhari. Ia adalah satu yayasan yang cukup dekat di hati masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar.
Pada tahun 2001, yayasan ini melancarkan Program Tuisyen Al Bukhari untuk membantu para pelajar melepasi peperiksaan akhir tahun di sekolah mereka. Kira-kira lebih 80,000 pelajar dari 500 buah sekolah mendapat manfaat daripada program berkenaan. Hampir setiap tahun juga, Yayasan Al Bukhari menganjurkan majlis buka puasa yang dapat memanfaatkan kira-kira 3000 orang yang tidak berkemampuan.
Selain itu, Yayasan Al Bukhari juga sering memberikan bantuan kepada masyarakat di luar negara. Contohnya, mangsa gempa bumi di China, Iran dan Pakistan serta mangsa Tsunami di Indonesia. Yayasan itu turut membina sebuah hospital AIDS di Uganda dan sebuah sekolah perempuan di Nepal.
Beliau terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 2008, namun apa yang mengejutkan apabila beliau membuat sesuatu diluar jangkaan dengan mendermakan hadiah anugerah tersebut kepada ibunya. Langsung beliau tidak lupa kepada ibu dan bapanya kerana dua individu inilah yang sentiasa menerapkan nilai-nilai murni ke dalam dirinya sejak kecil.
Saya akan kongsikan juga 7 pesanan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhari yang cukup popular kepada para usahawan Muslim dalam menjalankan perniagaan sehingga berjaya:
1. Fokus Sebelum Pelbagaikan Perniagaan
2. Kejayaan Perlukan Masa
3. Jangan Putus Asa
4. Jangan Sekadar Mengharapkan Dibantu
5. Yakin dengan Diri Sendiri
6. Berniaga bukan untuk Diri Sendiri
7. Usahawan Islam ada Akhirat
Setakat itu sahaja perkongsian saya, Tahniah kerana anda berjaya membaca seningga ke penamat, Sekian Terima Kasih.